Sumpah Mubahalah ( Sumpah laknat ) Dalam Islam
Friday, 26 September 2014
 Add Comment 
  Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut:
 فَمَنْ 
حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا 
نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ 
وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ 
اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ.
 Kemudian sesiapa yang membantahmu 
mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah
 kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak 
kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan 
diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan 
bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan 
kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali Imran 3:61]
 Perkataan 
Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlah atau buhlah (بهلة) yang 
bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada 
lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak
 yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa 
kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari 
kebenaran (Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda), 
jld. 2, ms. 105. )
  Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan 
bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran untuk 
berdialog dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah 
dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah 
disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh 
delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah 
lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah 
Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas.
 
Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan 
saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah 
masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian 
ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing
 pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah 
seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke 
atas ahli keluarganya.
 Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki 
pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat 
tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu 
kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga 
tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.
 
Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah
 yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dapat 
dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah:
 1. Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.
2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.
3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.
4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.
3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.
4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
 Lazimnya 
apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara 
berhadapan, sumpah mubahalah tidak akan berlaku. Pihak yang membuat 
tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir 
atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku 
kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan:
 عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: جَاءَ الْعَاقِبُ وَالسَّيِّدُ صَاحِبَا نَجْرَانَ
 إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ
 يُلاَعِنَاهُ. قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ لاَ تَفْعَلْ 
فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ وَلاَ 
عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا, قَالاَ إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا 
وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلاً أَمِينًا وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلاَّ 
أَمِينًا. فَقَالَ: لأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلاً أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ.
 فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ 
وَسَلَّمَ. فَقَالَ: قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ. فَلَمَّا
 قَامَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا 
أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ.
 Daripada Huzaifah (radhiallahu 'anh), 
dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada 
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk saling melaknat 
(Mubahalah).
 (Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang 
daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana 
Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat 
dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”
 Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang 
kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan 
kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” 
Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang 
amanah, benar-benar amanah.”
 Setelah itu maka setiap seorang 
daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam 
sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang 
amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah
 bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah sallallahu 
'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.”   ( 
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4380. )
0 Response to "Sumpah Mubahalah ( Sumpah laknat ) Dalam Islam"
Post a Comment